Lets Exchange Our Links ~ Share Our Moments

Saturday, October 23, 2010

Kenangan Terindah di Tasik Kenyir

SETELAH menjejakkan kaki ke Universiti Malaysia Terengganu, aku terpaksa melupakan hasrat untuk mengikut abahku pergi memancing bersama adik lelaki kesayanganku. Walaupun aku bukannya gemar memancing sangat kerana cepat bosan menunggu, tetapi aku seronok melihat orang lain memancing tambahan apabila berjaya menumpaskan sang ikan. Kalau dulunya aku berpeluang kesana kemari mengikut abah untuk memancing, kini terpaksa pula bergelumang dengan buku dan nota-nota kuliah. Namun setelah lama tidak terlibat dengan aktiviti memancing, pada 16 Oktober 2008, aku diberi kesempatan menyertai trip ke Tasik Kenyir di bawah aktiviti subjek Perikanan Rekreasi yang dipelajari pada semester 5.


Tasik Kenyir dan Khazanahnya

 Tentang destinasi, Tasik Kenyir terletak di hulu kawasan negeri Terengganu. Menurut Pusat Penerangan Pelancongan yang terletak berhampiran  pintu masuk ke Tasik Kenyir yang sempat aku kunjungi sebelum pulang, keluasan Tasik Kenyir lebih daripada 209 199 hektar dan merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Yang lebih menakjubkan lagi, Tasik Kenyir memiliki 340 pulau dan pulau terbesar hampir sebesar Pulau Pinang. Selain itu, terdapat 14 air terjun dan tasik buatan ini juga menjadi antara pintu masuk ke Taman Negara. Empangan Kenyir siap pada 1985 dan membentuk kawasan tadahan air seluas 38,000 hektar dan ianya dipenuhi 23 juta meter padu air. Ianya bukan saja mampu menampung bekalan air untuk negara, tetapi turut melahirkan satu lagi destinasi pelancongan menarik. Selain itu, Tasik Kenyir terdiri dari hutan tropika yang mengandungi 8000 spesies bunga, 2500 spesies tumbuhan, 370 spesies burung dan 300 spesies ikan sungai. Menurut pensyarah aku lagi iaitu Encik Masduki, salah satu keunikan Tasik Kenyir yang tidak terdapat pada mana-mana tasik buatan lain di Malaysia ialah terdapatnya pokok mati yang menjadi identiti Tasik Kenyir. Hal ini menambahkan lagi kekaguman aku terhadap Tasik Kenyir. Pada pendapat aku, jika disaksikan ketika remang senja atau dalam samar cahaya bulan pada waktu malam, boleh meremang juga bulu tengkuk dibuatnya. Namun di sebalik semua itu, pokok mati kekal sebagai satu keindahan misteri Tasik Kenyir.



Pengembaraan bermula


            Berbalik kepada cerita pengembaraanku ke Tasik Kenyir, perjalanan ke destinasi yang dituju menaiki rumah bot (boathouse) mengambil masa lebih kurang 5 jam membelah Tasik Kenyir. Hujan renyai-renyai turun menyebabkan suasana begitu nyaman sekali. Tambahan pula, sepanjang perjalanan, kedatangan kami seperti disambut batang-batang pokok mati yang tenggelam di dalam air tasik. Air tasik yang biru kehijauan disertai kabus tebal di puncak-puncak bukit mengasyikkan lagi kami sepanjang menyusuri kawasan ini. Terasa seperti hendak terlena sahaja dibuai bayu nyaman di sini. Ceh bersajak pulak, namun inilah hakikatnya apabila berada di sini sehingga aku terlupa seketika kesibukan kuliah dan kerja-kerja kursus yang belum disiapkan lagi. Akhirnya setelah lama menunggu, aku sampai juga ke destinasi yang ditetapkan. Pada hari pertama aku memulakan pancingan, tiada ikan yang sudi mencuba menjamah umpanku. Walaupun sedikit terkilan namun aku tidak berputus asa untuk mencuba pada hari seterusnya.



Penangan Si Lampam
aku mancing dpt 4 ekor ikan lampan ni ja asyik2...huhuhu better got than never^v^


          Suasana pada keesokkan pagi itu agak tenang, setenang joran yang sedang menunggu isyarat dari sang ikan tetapi anak-anak lampam pula sibuk menikmati keenakan pellet-pellet yang dilabuhkan oleh aku dan kawan-kawan. Tiba-tiba, hujung joran aku bergetar, satu sentapan dibuat dan aku terus menggarau tali tetapi hampeh. Mungkin anak-anak lampam ingin bergurau. Aku meletakkan umpan formulasi sekali lagi untuk mencuba nasib buat kali kedua. Setelah lama menunggu, kali ini ungkapan syukur alhamdullilah terucap di hatiku kerana sang lampam termakan umpanku. Aku mengukir senyuman yang hampir-hampir sampai ke telinga kerana itulah ikan pertama yang berjaya aku tumpaskan dengan usaha sendiri dalam sejarah hidupku.



Hikayat Ekspedisi

          Sedang asyik memancing, bot yang dipandu Encik Kasim yang akan membawa kami ke lubuk ikan sampai. Aku terus mengemaskan joran Crazy Horse 602 bersama kekili Daiwa SW 1500A milikku untuk dibawa bersama. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit namun setelah sampai kami terpaksa pula berjalan merentas hutan belantara dan jeram berliku. Sepanjang perjalanan, kami bertemu dengan tapak-tapak kaki dan najis gajah. Pada mulanya aku tidak mengetahui hal tersebut lalu bertanya dengan seorang pakcik yang tidak aku ketahui namanya. Dia senyum padaku dan berkata “tu najis rusa adik”. Aku hampir tergelak mendengar jawapan bohong pakcik itu kerana tidak logik dek akal jika najis rusa sebesar dua kali buku limaku ini. Rupa-rupanya barulah aku mengetahui bahawa apabila kita berada dalam hutan kita tidak boleh menyebut atau memanggil gajah kerana bimbang gajah tersebut akan datang. Tetapi Alhamdullilah kerana sepanjang perjalanan, kami tidak bertemu dengan kelibat gajah.



Setelah sampai ke destinasi yang sebenarnya, kami memulakan buruan dengan harapan akan dapat menumpaskan sang ikan yang menghuni anak-anak sungai di kawasan tersebut. Namun setelah beberapa jam mencuba, matahari mula menunjukkan diri dan bahangnya perit membakar kulit menyebabkan aku mula berasa penat. Ikan tak dapat tapi penat yang lebih hebat. Aku dan kawan-kawan berhenti memancing dan mula bermain-main air. Kemudiannya, kami semua menjamah nasi berlaukkan ikan sardin yang dimasak oleh Pak Teh sambil menikmati keindahan alam. Setelah itu, kami semua pulang semula ke rumah bot.

 

 Hati tak tahan

          Apabila balik sahaja dari ekspedisi, aku terus melabuhkan joran pancingku bersama umpan kerana aku tidak berpuas hati disebabkan tidak memperoleh sebarang ikan semasa ekspedisi tadi. Ditambah lagi kerana aku sudah memenangi pertarungan menentang seekor lampan sebelum itu telah membakar semangatku untuk mencuba lagi. Abah pernah berkata bahawa usaha itu tanda kejayaan. Betul kata abah kerana akhirnya usahaku tidak sia-sia kerana aku berjaya juga menumpaskan dua ekor ikan lagi dari spesies yang sama. Walaupun aku hanya memperoleh ikan lampam namun aku tetap tersenyum sampai ke telinga, jika dapat kelah boleh jadi senyumanku sampai ke tengkuk. Barulah aku mengerti mengapa abahku begitu gemar memancing sehingga selalu dibebel-bebel oleh ibuku. Keseronokan bertarung dengan ikan memang mengasyikkan tambahan pula apabila berjaya menumpaskannya. Nasihat dariku, jika pemancing adalah seorang suami maka pandai-pandailah meminta restu daripada isteri tercinta. Peribahasa orang tua-tua bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak!






Akhirulkalam



          Sebagai penutup, pada hari terakhir sebelum pulang ke kampus, kami semua dibawa untuk melihat keindahan Air Terjun Lasir. Aku bersama semua kawanku berasa begitu berdebar sekali untuk sampai ke kawasan air terjun. Kami perlu melalui titian-titian kayu yang dibina khas untuk sampai ke sana. Apabila sampai sahaja di Air Terjun Lasir, terpana aku seketika melihat air terjun setinggi 500 kaki yang indah nian. Aku bersama kawan-kawan memulakan langkah ke dalam air. Baru sahaja kaki kanan melangkah ke dalam air tetapi sudah mengigil aku dibuatnya kerana airnya sememangnya sejuk sehingga terasa kedinginannya ke tulang hitamku. Bermandi-manda di air terjun menjadi ramuan pelengkap dalam trip ke Tasik Kenyir ini. Sememangnya kepuasan yang tidak terhingga diperolehi dalam trip kali ini.

  


Kenangan terindah



          Setelah puas bermandi-mandi di air terjun di samping melepaskan tekanan akibat hanya mandi sekali sehari sepanjang di atas rumah bot, maka kami semua kemudiannya meneruskan perjalanan pulang bersama kenangan yang berbekas di hati masing-masing. Cerita tak putus-putus sepanjang perjalanan pulang dan sudah pasti akan menjadi bahan bualan apabila pulang ke kampus nanti. Dan yang aku yakin, ianya pasti akan menggamit perasaan untuk datang semula ke Tasik Kenyir. Tasik Kenyir kekal sebagai kenangan terindah di hatiku.



trip ke tsik knyir





## Kawan2 ni artikel yang ika wat ms p tasik kenyir..sja ja nk imbau kmbali ksh dlu2..hahahaha^v^ (sorylah pnjang ckit k n klu bhasa x sdp sorylah ye...lg 1 mmg skema punya ayat sbb assignment)..hihi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

We Belong Together | Designed by www.rindastemplates.com | Layout by Digi Scrap Kits | Author by Hazrieyka :)